Konsultasi Kesehatan: Wanita gemuk hadapi gangguan haid

Pertanyaan:
Saya remaja berusia 21 tahun dan mempunyai masalah berat badan. Berat badan saya 80 kilogram dan tinggi saya 150 sentimeter. Yang membimbangkan saya – dalam tiga bulan kebelakangan ini, saya mempunyai masalah haid yang tidak teratur, iaitu saya sudah tiga bulan tidak datang haid, pertanyaan saya adakah ini kesan daripada berat badan saya yang berlebihan dan adakah ia tanda bahawa saya tidak boleh mengandung apabila saya berkahwin nanti?

Remaja Buntu,
Petaling Jaya, Malaysia


Jawaban:
Berat badan yang unggul bagi seseorang wanita yang tingginya 150 sm adalah di antara 42 dan 52 kg. Kegemukan ataupun obesiti ditakrifkan apabila seseorang itu mempunyai berat badan melebihi 20 peratus daripada berat badan unggul bagi umur, ketinggian dan jantina seseorang.

Masalah yang mungkin dialami oleh seseorang yang mempunyai masalah kegemukan ialah:

  1. Masalah kitaran haid yang panjang (melebihi 35 hari) dan pendarahan haid yang tidak menentu, banyak dan lama tempoh pendarahannya.
  2. Masalah sendi seperti sendi di lutut kerana terpaksa menampung berat badan yang melebihi hadnya.
  3. Lebih mudah menghidap penyakit urat bersimpul atau varicose veins (saluran vena mengembang di bahagian kaki).
  4. Risiko yang tinggi untuk penyakit seperti jantung, kencing manis, batu karang dalam hempedu dan hernia, iaitu kelemahan pada otot di perut menyebabkan usus terkeluar daripadanya.

Sehubungan itu, anda dinasihatkan supaya mengambil langkah segera dan berusaha mengurangkan berat badan kerana anda masih muda dan terlalu awal untuk mula mencederakan organ disebabkan oleh kegemukan.

Secara amnya, masalah kegemukan ini berlaku apabila pengambilan kalori secara berlebih daripada yang diperlukan oleh tubuh seseorang.

Kajian menunjukkan bahawa orang yang gemuk menyimpan hasil makanan sebagai lemak walhal orang yang kurus pula menggunakan hasil makanannya dengan berkesan.

Anda perlu berjumpa doktor dan pakar pemakanan untuk mendapat khidmat nasihat bagi menguruskan badan. Anda perlu juga melakukan senaman secara berkala untuk menghapuskan lemak tersimpan.

Beberapa petua pengambilan pemakanan yang sihat ialah:
  1. Mengurangkan pengambilan makanan yang siap diproses, contohnya, makanan segera;
  2. Memakan makanan yang mengandungi banyak serat seperti sayur-sayuran segar dan buah-buahan;
  3. Mengurangkan pengambilan lemak daripada binatang.
  4. Mengurangkan pengambilan gula ataupun makan atau minuman yang mengandungi kadar gula yang tinggi seperti minuman bergas;
  5. Mengurangkan kudapan atau pengambilan snek.

Anda juga dinasihatkan berjumpa doktor untuk masalah ketiadaan haid kerana ada kemungkinan anda mempunyai penyakit sindrom polisistik ovari (PCOS) yang bercirikan seperti berikut:
  1. Kilang ovari menjadi lebih besar daripada saiz normal kerana ada banyak sista yang kecil (dengan garis pusat 2-8mm);
  2. Kitaran haid yang panjang seperti tiga hingga enam bulan, iaitu kedatangan haid dua dan tiga kali dalam tempoh setahun;
  3. Kegemukan;
  4. Ada tanda-tanda aktiviti hormon androgen yang berlebihan seperti jerawat, misai dan janggut.

Wanita yang berpenyakit PCOS ini menghadapi kesukaran untuk hamil disebabkan kesukaran mencapai kejayaan proses ovulasi. Banyak cara untuk mengatasi masalah ini.

Salah satu langkahnya ialah mengurangkan berat badan ke tahap berat badan yang unggul terutama bagi wanita yang belum berumah tangga dan belum ingin hamil.

Adakalanya sejenis pil perancang digunakan untuk mengatasi masalah jerawat, misai ataupun kitaran haid.
loading...

0 komentar