Konsultasi Keluarga: Suami Menghina Isteri

Pertanyaan:Saya selalu menunjukkan muka masam pada suami saya. Ini disebabkan oleh sikap suami saya yang selalu memenangkan apa saja kata-kata mahupun perbuatan kawan-kawan pejabatnya sama ada lelaki mahupun perempuan. Bila saya menegurnya, kerana perbuatannya dengan kawan perempuannya itu boleh menjatuhkan maruah saya sebagai isterinya, dia kata saya ni terlalu emosional dan selalu berfikiran negatif. Katanya kawan-kawan di pejabatnya itu dah macam adik-beradik. Akhbar Islam

Suami saya suka menghina saya, dengan kata-kata seperti bodoh, buta, pekak, tak berguna, kurang ajar, hati busuk, jahat. Disebabkan perkara kecil saja, dia akan marah saya dengan kata-kata tersebut. Kadang-kadang saya cuba mencari kesilapan apa yang saya telah buat sehingga membuatkan dia sanggup mengatakan saya tak berguna. Sehingga sekarang saya rasakan tak boleh berkata apa-apa walaupun dia telah melakukan kesilapan, kerana takut perkara-perkara yang tersebut diatas akan terkeluar dari mulutnya, tetapi hati saya ini semakin lama semakin sakit, sehinggakan kadang-kadang saya merasakan memang saya ni tak berguna pada nya dan rasa mahu pergi jauh darinya.?
Hamba Allah, KL

Jawaban:
Suatu perkara yang tidak harmoni dalam rumahtangga jika seorang suami menghina dan mencaci maki isteri yang mendampinginya selama ini. Bukan sekadar itu sahaja bahkan segala layanan dan keperluan batiniah juga dinikmati secara bersama, namun terjadi juga dalam masa yang sama penghinaan dan cacian terhadap isterinya. Untuk menghadapi suami yang seperti ini, seorang isteri harus melihat latarbelakang kehidupan suami, baik dalam keluarganya mahupun keadaan di tempat kerja. Dua faktor ini sangat besar pengaruhnya dalam membentuk keperibadian dan watak seseorang, terutama suami anda.

Di dalam berbicara dan menyampaikan sesuatu nasihat terhadap seseorang pun mempunyai seni dan caranya tersendiri. Setiap orang di dunia ini mempunyai reaksi yang berbeda ketika mendengar teguran dan nasihat daripada orang lain. Setengahnya ada yang dengan senang hati mahu menerima segala teguran dari kesilapan yang dilakukannya, tidak kiralah yang menegurnya itu orang yang lebih kecil daripadanya. Namun ada juga orang yang paling tidak suka jika orang lain cuba memberikan nasihat kepadanya, ini mungkin disebabkan kerana ia terlalu sayang terhadap dirinya sendiri sehingga merasakan bahawa teguran dan nasihat orang lain itu seakan-akan menggores ego dan sifat keakuannya.

Jika anda memiliki suami yang mempunyai sifat yang kedua ini, berusahalah mencari ruang dan saat yang sesuai untuk memberikan sumbangan fikiran atau yang serupa dengan itu. Jangan menegur secara langsung atas kesilapan yang ia lakukan, kerana teguran secara langsung itu menyebabkan ia merasa bahawa harga dirinya telah dipijak-pijak oleh isterinya. Kerana lelaki yang ego ini biasanya tidak mudah menerima teguran daripada orang lain apatah lagi teguran itu datang daripada isterinya sendiri.

Disamping itu berdoalah kepada Allah SWT setiap kali selesai mengerjakan solat fardhu agar sikap anda dan suami anda berubah dalam menerima kenyataan kehidupan berumahtangga. Percayalah bahawa setiap diri seseorang itu memiliki madu dan racunnya. Ertinya seseorang itu memiliki kelebihan dan kekurangannya. Mungkin anda juga memiliki kekurangan disamping banyak kelebihan-kelebihan yang lain, begitu juga suami anda memiliki kekurangan dan kelebihannya. Oleh sebab itu terimalah madu dan racun atau kekurangan dan kelebihan yang ada pada pasangan anda agar anda dapat memahami makna kehidupan berkeluarga. Jika kita dapat memahami perkara asas ini, insya Allah segala bencana dalam rumahtangga dapat kita hindarkan. Wallahu a'lam. 

Konsultasi Keluarga: Suami Menghina Isteri
loading...

1 komentar: